Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk membuat keputusan berhubung saman yang difailkan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

"Saya serahkan kes itu kepada mahkamah, biar mahkamah yang putuskan. Kita mempunyai perundangan, saya tidak akan mengulas lanjut berhubung isu ini."

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya berhubung perkara itu pada sidang media di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) selepas mendengar taklimat daripada Menteri Tenaga, Teknologi, Sains Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTEC), Yeo Bee Yin.

Untuk rekod, pada 17 Mei lalu, Musa memfailkan saman terhadap terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie, memohon pengisytiharan bahawa beliau (Musa) kekal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Pada 5 Jun, Mohd Shafie telah memohon bagi membatalkan saman oleh pendahulunya, iaitu Musa atas alasan bahawa Musa tidak mempunyai sebab munasabah untuk mencabar pelantikannya sebagai ketua menteri pada 12 Mei.

Namun pada 6 Jun, Musa membatalkan saman yang dikemukakan pada 17 Mei itu dan memfailkan saman baharu.

Pada 24 Ogos, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Datuk Yew Jen Kie menolak permohonan Mohd Shafie bagi membatalkan kes saman pemula yang difailkan Musa selepas berpuas hati dengan hujah yang disampaikan oleh pihak plaintif.

Pada tarikh sama Datuk Yew juga menetapkan 26 Oktober untuk menyampaikan penghakiman kes itu sebelum dijadulkan semula dan ditetapkan 25 Oktober ini.

Sementara itu, keputusan mengenai saman Datuk Jahid Jahim yang memohon pengisytiharan pelantikan semua menteri, pembantu menteri dan anggota dewan yang dicalonkan dalam kerajaan negeri yang dipimpin Warisan adalah batal dan tidak sah juga akan dihantar pada 25 Oktober.

Jahid menamakan Mohd Shafie, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Syed Abas Syed Ali dan Setiausaha Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Bernard Dalinting, sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga.