Sebagai negara demokrasi, pemilihan Datuk Bandar wajar dilaksanakan menerusi pilihan raya, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Jelasnya, berdasarkan peringkat dalam kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) berada pada tangga ketiga.

“Pertama kerajaan, kedua negeri manakala ketiga PBT.

"Sudah tiba masanya kita mengamalkan demokrasi di peringkat PBT. Cuma saya nak tekankan sebab dulu mereka kata local government election (Pilihan raya Kerajaan Tempatan) tetapi di peringkat majlis. Saya nak cakap di peringkat ketuanya, Yang Dipertua ataupun Datuk Bandar,” ujarmya kepada Astro AWANI.

Ahli Parlimen Ampang itu juga membayangkan, sekiranya Pilihan Raya Datuk Bandar itu direalisasikan, ia akan menjadi satu perkara yang menarik.

“Buat pertama kali nya, bila dapat memilih pemimpin untuk jadi Datuk Bandar yang datangnya dari kawasan dia.

Saya percaya orang macam ini (orang yang dipilih) mempunyai semangat kekitaan yang kuat. Dari kawasan dia, sudah tentu dia nak kawasan dia cantik dan sebagainya. Saya rasa ia akan lebih berkesan,” tambahnya lagi.

Justeru Zuraida berkata, bagi merealisasikan cadangan tersebut, beliau akan menyediakan kertas kerja dan dokumen berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

“Insya-Allah selepas saya menyelesaikan perkara utama, saya akan tumpukan kepada cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar," katanya.

Ahli Parlimen Ampang ini membayangkan, sekiranya Pilihan Raya Datuk Bandar itu direalisasikan, ia akan menjadi satu perkara yang menarik

Untuk rekod, pilihan raya pihak berkuasa tempatan atau 'pilihan raya kerajaan tempatan' pernah diadakan di Malaysia bagi memilih ahli jawatankuasa di peringkat daerah sebelum tahun 1964.

Bagaimanapun, sistem pilihan raya ini dimansuhkan bagi mempercepatkan proses pembangunan.

Pada 1 November 2006, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim pernah mencadangkan di parlimen agar pilihan raya kerajaan tempatan ini diadakan semula.

Jika diluluskan, pilihan raya PBT hendaklah diadakan di seluruh Malaysia, sama ada secara serentak atau berperingkat .