Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka bidaan bagi nombor pendaftaran istimewa kenderaan siri 'MALAYSIA 1' hingga 'MALAYSIA 9999' kepada orang awam secara tawaran mulai 1 hingga 15 Ogos depan.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata ia dibuka di JPJ negeri seluruh negara dan permohonan boleh dikemukakan secara manual kepada Pengarah JPJ negeri masing-masing dengan peti tawaran bidaan itu disediakan di JPJ setiap negeri.

"...tawaran bermula dari 10 pagi, 1 Ogos hingga 12 tengah hari, 15 Ogos. Satu borang adalah untuk satu permohonan sahaja. Borang boleh diperoleh secara percuma di mana-mana JPJ negeri, cawangan atau dimuat turun daripada laman web www.jpj.gov.my.

"Permohonan boleh dihantar melalui serahan tangan atau pos...kita buat secara manual, sebelum ini bercadang untuk buat 'online' (dalam talian) tetapi sistem itu tidak lengkap lagi," katanya pada sidang media sebelum melawat pejabat JPJ di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dekat sini, hari ini.

Pada Jun lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dalam laporan media dipetik berkata tawaran bidaan itu akan dibuka mulai 2 hingga 16 Julai kepada mana-mana individu, termasuk menteri kecuali Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan ditawarkan nombor pendaftaran khas 'MALAYSIA 2020'.

Sementara itu, Shaharuddin berkata JPJ menjangkakan kutipan hasil daripada tawaran bidaan bagi siri itu mencecah RM20 juta.

"Hingga kini, nilai bidaan dan jualan keseluruhan tertinggi bagi siri V iaitu RM22.48 juta dengan diikuti siri F sebanyak RM17.55 juta. Bidaan tertinggi bagi kedua-dua siri ini pula ialah V1 iaitu RM989,780 manakala F1 ialah RM836,660," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata mana-mana individu yang melakukan aksi 'Keke Challenge' iaitu menari di luar kereta bergerak perlahan sehingga melibatkan pelanggaran, sekali gus membahayakan orang lain mungkin boleh dikenakan tindakan saman.

"Kita ada kerangka undang-undang kita untuk mengambil tindakan di jalan raya, tetapi perbuatan sedemikian yang tidak mengikut kesopanan biasa tentulah tidak dibenarkan oleh etika masyarakat.

"Tetapi kalau ia melibatkan pelanggaran dengan bawa macam itu, menyebabkan adanya isu membahaya (orang lain) mungkin kita akan saman...setakat ini kita akan kaji ikut peruntukan undang-undang," katanya. -- Bernama