Bidang keselamatan siber janji gaji lumayan

Bidang keselamatan siber janji gaji lumayan
Kekurangan pakar dalam bidang keselamatan siber bukan sahaja dialami di negara ini malah di seluruh dunia. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan 10,500 pakar dalam keselamatan siber menjelang 2020, berdasarkan kajian oleh firma Frost & Sullivan.

Bagaimanapun, setakat ini hanya sekitar 6,000 pakar dalam bidang itu yang wujud di negara ini.

Menyedari hakikat itu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC) mengambil peluang ini untuk membangunkan bakat-bakat baharu dalam bidang tersebut hasil kerjasama dengan pemain industri.

Menurut Pengurus Bahagian Keselamatan Siber MDeC, Alvin Teoh Yee Choong, program untuk melatih pelajar universiti diadakan selari dengan permintaan dalam bidang yang diperlukan oleh industri.
"Perkhidmatan dibahagikan kepada empat kategori iaitu penasihat, pusat operasi keselamatan, sistem integrasi dan juga para pelatih," katanya dalam satu sesi diskusi pada Persidangan Keselamatan Siber NANOSEC 2018 yang diadakan baru-baru ini.

Menurutnya, kekurangan bakat atau pakar dalam bidang tersebut bukan sahaja dialami di negara ini malah di seluruh dunia.

"Keselamatan siber adalah salah satu pekerjaan yang menerima gaji yang lumayan dalam bidang ICT (teknologi maklumat dan komunikasi).

"Kita harus wujudkan peluang pekerjaan ini untuk menyokong pasaran tempatan sebelum mengeksport bakat ini ke rantau ASEAN," kata Alvin.

Program latihan selama setahun itu ditambah nilai dengan kerjasama Persatuan Audit dan Kawalan Sistem Maklumat (ISACA) untuk mengiktiraf peserta-peserta program.

Peningkatan dalam bidang kerja keselamatan siber disebabkan pembangunan pesat penggunaan teknologi dalam bidang data raya (big data), internet saling berhubung (IoT), e-perniagaan dan Revolusi Industri 4 yang wujud di atas talian.

Platform-platform tersebut memerlukan perlindungan daripada pelbagai ancaman, oleh itu pakar dalam bidang keselamatan siber amat diperlukan.





Tag: MDeC, Cyber security, Alvin Teoh Yee Choong, Frost & Sullivan, NANOSEC, ICT, IoT, Big Data, keselamatan siber, kajian, gaji, bakat baharu, pemain industri, pelajar universiti, pasaran tempatan, ISACA, program latihan, data raya, IR4 0


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.