Universiti Putra Malaysia (UPM) disenaraikan pada kedudukan ke-54 terbaik di dunia dalam bidang Sains Pertanian dalam penarafan Kedudukan Universiti Terbaik Global oleh US News and World Report yang diterbitkan baru-baru ini.

UPM dalam kenyataan berkata universiti itu turut disenaraikan sebagai universiti terbaik di rantau Asia Tenggara dan ketujuh terbaik Asia dalam bidang Sains Pertanian.

Penarafan baharu itu memfokuskan kepada penyelidikan keseluruhan institusi, reputasi global dan serantau serta prestasi penyelidikan yang menggunakan indikator penerbitan, staf akademik dan bilangan graduan doktor falsafah (PhD).

"Terdapat lapan indikator utama untuk penarafan subjek termasuk reputasi penyelidikan global, reputasi penyelidikan serantau, penerbitan dan kerjasama antarabangsa.

Sementara itu Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata kejayaan itu merupakan pencapaian terbaik UPM dalam bidang Sains Pertanian dan sekali gus melonjakkan reputasi akademik UPM pada peringkat global.

"Pertanian merupakan niche area atau bidang kebitaraan UPM dan semua komuniti UPM menzahirkan rasa bangga di atas pencapaian cemerlang ini kerana kesungguhan dan komitmen dalam memartabatkan ilmu pertanian telah meletakkan UPM antara yang terbaik di dunia," katanya.

UPM juga mengekalkan pencapaian terbaiknya dalam QS World University Ranking apabila dua tahun berturut-turut berada dalam kumpulan 100 universiti terbaik dunia dalam bidang pertanian dan perhutanan serta pendidikan.