Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil bijirin jenis quinoa sebagai sebahagian daripada rejim diet sihat yang diamalkan beliau.

Selain itu, beliau mengambil bijiran berkenaan atas nasihat doktor, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri malam tadi.

Kenyataan itu, yang dimuat naik dalam laman Facebook Pejabat Perdana Menteri, menyatakan bahawa Najib juga melakukan senaman secara rutin bagi menjaga kesihatan dan kecergasan beliau.

"Pejabat Perdana Menteri telah dimaklumkan mengenai tindakan pihak tertentu termasuk pemimpin pembangkang memutar belit kenyataan Najib berkenaan rutin kesihatan dan pemakanan yang telah dibuat oleh beliau dalam acara Bajet 2018 Bersama Rakyat: Kesejahteraan Isi Rumah semalam (Khamis).

"Kita sedia maklum Perdana Menteri menghadiri banyak acara setiap minggu dan sentiasa dijamu dengan pelbagai makanan termasuk nasi dalam majlis-majlis tersebut," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Pejabat Perdana Menteri menggesa orang ramai untuk menonton ucapan Najib dalam acara Bajet 2018 Bersama Rakyat: Kesejahteraan Isi Rumah di mana beliau berkongsi pelbagai perkembangan terkini negara dan kerajaan Persekutuan di laman Youtube (https://youtu.be/XXtFPt_0z2g)

-- BERNAMA