Perak akan membenarkan pertambahan jemaah bagi solat Jumaat dan fardu di semua masjid serta surau di seluruh negeri, bermula Jumaat ini.

Bilangan jemaah akan dikira berdasarkan kapasiti ruang utama dewan solat di surau dan masjid dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan penjarakan satu meter di antara jemaah.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, kebenaran itu diperkenankan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah setelah mempertimbangkan sembah nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berdasarkan garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagaimanapun, katanya, kehadiran masih hanya untuk jemaah warganegara Malaysia.

“Identiti para jemaah yang datang untuk bersolat hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat

“Kaedah dan cara para jemaah masuk dan keluar dari ruang utama dewan solat di masjid, surau Jumaat dan surau hendaklah diasingkan di antara pintu masuk dan pintu keluar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bermula 12 Jun lalu, umat Islam di Perak dibenarkan solat Jumaat dan fardu di surau serta masjid dengan bilangan jemaah 40 orang, tidak termasuk pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah.

Shahrul Azam berkata, azan yang dilaungkan oleh bilal juga hendaklah kembali kepada kaedah asal dan tidak perlu lagi melafazkan ayat “al-Salatu fi buyutikum” (tunaikanlah solat di rumah kamu).

Menurutnya, Jabatan Agama Islam Perak akan mengeluarkan garis panduan dan kaedah terkini penambahan bilangan jemaah untuk pelaksanaan solat Jumaat dan solat berjemaah pada setiap solat fardu kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid dan surau di negeri Perak.

“Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga dikeluarkan arahan baharu daripada (MAIPk),” ujarnya.