Bilangan jemaah solat Jumaat di Pulau Pinang ditambah kepada 40 orang berbanding 15 jemaah sebelum ini, berkuat kuasa 12 Jun, kata Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata perkara itu diputuskan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang turut membenarkan pertambahan bilangan jemaah solat fardu lima waktu kepada 15 orang, terdiri daripada pegawai dan jawatankuasa masjid sahaja.

"Bilangan jemaah untuk solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di masjid akan ditambah lagi secara beransur-ansur. Cara pelaksanaan diserahkan kepada pengurusan masjid. Contohnya, dibuat giliran atau sebagainya," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Bagaimanapun, terdapat masjid di negeri ini yang masih mengekalkan jumlah jemaah yang dibenarkan sepanjang tempoh Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana tidak mampu mengawal bilangan jemaah yang ramai, selain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, katanya.

Wan Salim berkata SOP pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di masjid sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih kekal sama dengan jemaah perlu menulis nama dalam buku rekod yang disediakan, mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah sendiri, pemeriksaan suhu badan, mengamalkan jarak sosial, mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman dan segera meninggalkan masjid selepas selesai solat.

Sebelum ini, Pulau Pinang membenarkan solat Jumaat dihadiri 15 jemaah manakala bagi solat fardu lima waktu dihadkan hanya kepada tiga jemaah iaitu imam, bilal dan siak.

-- BERNAMA