“Saya tidak mahu komen, saya baru hendak membaca buku itu, ada kemungkinan mereka perlu menghubungi saya untuk berlakon dalam babak serbuan di Pavilion,” ujar Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

Itulah maklum balas spontan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman ketika diajukan soalan mengenai buku ‘Billion Dollar Whale’ yang bakal difilemkan.

Penulis bersama buku berkenaan, Tom Wright hari ini berkongsi berita mengenai buku yang mendedahkan perincian mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low bakal diangkat ke layar perak.

Ia selepas SK Global berjaya mendapat hak penerbitan bagi filem untuk buku berkenaan.

BACA: TERKINI! Kondominium mewah digeledah lagi - Polis

Filem itu akan diterbitkan Ivanhoe Pictures yang juga anak syarikat SK Global, bersama aktres antarabangsa kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh yang menjalin kerjasama dengan syarikat itu baru-baru ini.

Serbuan di Pavilion merujuk kepada serbuan polis jabatan itu di kondominium di ibu negara yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila polis merampas sejumlah wang dan barangan berjenama mewah.

Serbuan tersebut diketuai oleh Amar Singh dan berlanjutan selama beberapa jam pada Mei lalu.