Seramai 16 pelawat asing, termasuk seorang warga Indonesia disekat masuk ke Sarawak sejak Sabtu susulan penguatkuasaan sekatan ke atas semua warga China dan warga asing yang pernah ke China sejak 14 hari lalu.

Satu laporan yang diterima Jabatan Imigresen Sarawak mendapati, daripada jumlah berkenaan, 13 adalah warga Republik Rakyat China, sementara dua lagi adalah warga Hong Kong.

Seorang lagi pelawat yang dilarang masuk ke Sarawak adalah warga Indonesia.

Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), Lapangan Terbang Miri dan Lapangan Terbang Mulu.

Sekatan itu selari dengan arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak pada Sabtu lalu yang mengarahkan sekatan kepada semua warganegara China dan warganegara asing yang berada di China sejak 14 hari lalu.

Sekatan dikecualikan bagi pemegang Pas Pekerjaan, Pas Pelajar dan Pas Sosial Jangka Panjang, bagaimanapun mereka wajib menjalani kuarantin di kediaman sendiri selama 14 hari.

Pada masa sama, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg ada mendedahkan, pihaknya bercadang menguruskan penerbangan untuk warga Sarawak di China pulang.

Sekiranya ia dijalankan, sebaik tiba, mereka akan dikuarantin dalam satu premis.