Kerajaan Negeri Pahang bakal membuka 22 kawasan bagi membina Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk memenuhi keperluan masyarakat berpendapatan sederhana (B40).

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, baginda menyokong usaha yang dijalankan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi membantu golongan yang memerlukan.

Tengku Abdullah turut mengingatkan golongan pembuat dan pelaksana dasar bahawa baginda berperanan sebagai pemerhati yang turut membawa suara rakyat.

“Di Pahang sahaja sudah dibina dan dalam perancangan sebanyak 36 projek seperti dinyatakan dan saya berpandangan kejayaan ini adalah manifestasi tanggungjawab kerajaan dalam mensejahterakan rakyat,” titah baginda sewaktu melancarkan Majlis Pecah Tanah Projek PPR Kampung Bongsu, Lanchang, Temerloh.

Baginda turut bertitah bahawa kehadirannya tidak harus dilihat sebagai berkempen untuk mana-mana pihak.

Sambil menyampaikan salam kepada calon-calon wakil rakyat yang hadir, baginda turut berpesan bahawa sesiapa sahaja yang dipilih harus merealisasikan aspirasi rakyat.

“Saya datang semata-mata nak lihat situasi musim kempen. Saya tidak mahu cakap politik kerana ia bukan kepakaran saya. Saya bagi kepada orang politik sahaja kerana mereka lebih arif.

“Saya hadir bagi melihat sendiri perancangan program kerajaan yang telah dilaksanakan. Saya ambil kisah bukan sekadar di sini dan bukan bulan ini sahaja tetapi berterusan. Saya tidak mahu mana-mana pihak anggap lawatan saya bermaksud saya mahu berkempen politik,” titahnya.

Baginda turut bertitah bahawa baginda mengetahui terdapat 118 PPR yang menelan belanja sebanyak RM6 billion dan telah membantu lebih 83,000 keluarga.

Baginda turut menggesa supaya kerajaan persekutuan dan negeri meluluskan lebih banyak projek perumahan mampu milik bagi membantu lebih 187,000 golongan B40 di Pahang.

“Saya mahu melihat bukan sahaja isu rumah diselesaikan tetapi juga keperluan lain seperti bekalan air bersih yang mencukupi, bekalan eletrik dan kemudahan asas seperti lampu jalan.

“Saya bersyukur bahawa setiap kali saya menegur pihak berkuasa mereka akan mengambil tindakan dalam masa yang singkat dan mengusahakan projek-projek tersebut.

“Saya turut menyambut usaha Kerajaan Pusat dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob yang menjayakan segala usaha-usaha kerajaan yang telah menetapkan kesejahteraan rakyat di landasan yang utuh serta mampan," titah baginda.

Majlis tersebut turut dihadiri calon BN Parlimen Temerloh Datuk Seri Sharkar Shamsudin.

Sharkar turut mengumumkan pembukaan 22 lagi tapak tanah di Pahang untuk membina PPR termasuk di Mentakab dan Kuala Semantan.