Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata rakyat perlu bersama dengan pemimpin sebagai satu kumpulan dalam usaha membangunkan negara.

“Umpama Real Madrid menentang Liverpool awal pagi tadi, kerajaan tidak boleh berseorangan bangunkan negara sebaliknya rakyat dan kerajaan bersama sebagai satu kumpulan untuk masa depan negara.

“Selepas kita mengubah kerajaan, marilah kita bawa negara ke tahap yang lebih tinggi dan mengisi kemenangan atau peralihan ini dengan mendapat keredaan ALLAH SWT," katanya dalam ucapan Majlis Iftar Perdana bersama Timbalan Perdana Menteri di Masjid Nurul Hidayah, di sini.

Menurutnya rakyat dan pemimpin perlu bekerja dalam sebuah pasukan kerana tugasan untuk membina negara tidak boleh dilakukan secara berseorangan.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Exco Selangor, Ir Izhan Hashim.

Sementara itu, Wan Azizah dan Anwar dilihat tidak ‘satu kereta’ ke majlis berkenaan.

BACA: Wan Azizah dan Anwar tidak satu kereta ke majlis sama

Mereka ke majlis rasmi itu secara berasingan iaitu dengan kenderaan masing-masing.

Wan Azizah menaiki kenderaan rasmi kerajaan Proton Perdana, manakala Anwar menaiki kereta persendiriannya, Toyota Vellfire.