Mahasiswa perlu membina pengetahuan dari perspektif agama mengenai isu keganasan dan ideologi ekstrem yang menular di kalangan belia.

Timbalan Ketua Pengarah Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), Khairi Omar berkata, ia berikutan penyebaran dakyah secara kreatif yang menggunakan media sosial, aplikasi telefon dan permainan video.

"Golongan belia serta masyarakat amnya perlu diperkasa agar berupaya untuk mematahkan hujah-hujah kumpulan radikal ini dengan membina hujahan balas (counter-narratives) dan alternatif yang berkualiti," katanya.

Seramai 30 orang pelajar dari tujuh universiti awam (UA) terpilih menyertai Bengkel Inisiatif Mahasiswa Muslim Perangi Ancaman Keganasan (IMPAK) anjuran SEARCCT, Kementerian Luar Negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Bengkel IMPAK yang diadakan di Bangunan Q Sentral, Kuala Lumpur bermula 10 sehingga 11 April itu turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Mahasiswa, Jabatan Pendidikan Tinggi Malaysia, Ahmad Fuad Mohd Nordin.

Program itu bertujuan membentuk pelajar UA supaya mempunyai daya tahan dalam mendepani ancaman keganasan dan fahaman ekstrem yang berkembang melalui media sosial.

Antara ceramah disampaikan bertajuk 'Bahaya Ancaman Naratif Kumpulan Pengganas di Media Sosial' oleh Pensyarah Kanan, Pusat Komunikasi dan Masyarakat Digital, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, Dr Ahmad Sauffiyan Hasan dan Penyarah Sains Politik dan Pengajian Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ahmad El Muhammady Uthman El Muhammady bertajuk 'Memahami dan Menentang Naratif Keganasan'.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Dr Amran Muhammad turut menyampaikan ceramah bertajuk 'Menggunakan Naratif Nusantara untuk Membendung Keganasan'.

Peserta program terdiri daripada pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Bengkel selama dua hari itu mendedahkan peserta dengan latar belakang masalah dan sejarah keganasan, bahaya naratif yang digunakan oleh kumpulan pengganas dan kuasa media sosial dalam melawan naratif pengganas.

Peserta diberi tugasan untuk membina naratif anti pengganas dalam bentuk video dan poster berdasarkan tema, ikon, kumpulan sasaran dan platform media sosial yang telah dikenal pasti.

Penilaian konstruktif terhadap hasil kerja pelajar digunakan bagi membolehkan pelajar memahami hasil kerja naratif anti pengganas yang mereka lakukan.

Pertandingan itu dimenangi kumpulan Sokhra dari UiTM.