Penduduk Pekan Ampang diminta agar tidak tergesa-gesa membuat demonstrasi bagi membantah pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE).

Wakil Kelab Sejarah dan Warisan Malaysia, Razak Bahrom berkata, penduduk seharusnya mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa terbabit untuk mengesahkan tapak sebenar pembinaan lebuh raya itu.

"Faedah pembinaan lebuh raya juga harus dipertimbangkan selepas bancian pada 2010 mendapati penduduk di Ampang kini melebihi 800,000 orang.

"Kemungkinan besar lebuh raya ini dibina khusus untuk mengurangkan kesesakan; pada pendapat saya tidak perlu buat demonstrasi.

"Kita kena berhubung dengan pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), SUKE dan agensi berkenaan lain untuk mendapatkan pandangan yang lebih jelas," katanya ketika ditemui semasa program "Selamatkan Pekan Ampang dari pembinaan SUKE" di sini hari ini.

SUKE dirancang sejauh 32 kilometer untuk menjadi laluan alternatif kepada Lebuhraya Jaringan Tengah II (MRR2) daripada Sri Petaling Ke Ulu Klang, melalui Sungai Besi, Cheras, Kajang dan Taman Putra Ampang.

Konsesi 60 tahun dianugerahkan kerajaan kepada syarikat Projek Lintasan Kota Holdings (Prolintas).

Acara khusus menyelamatkan Pekan Ampang, 'Pekan Ampang Heritage Talk and Photo Walk' itu merupakan kali pertama diadakan bagi mempertahankan barisan kedai-kedai usang di pekan lama Ampang daripada diruntuh dan digantikan dengan pembinaan SUKE.

Dalam pada itu, penyelaras 'Kempen Selamatkan Pekan Ampang dari pembinaan SUKE', Sarah Amer berkata sejarah Ampang dan Kuala Lumpur yang dibangunkan pengusaha lombong bijih, Yap Ah Loy adalah suatu warisan yang amat berharga untuk dimusnahkan.

Lebuh raya SUKE dilapor dapat membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas kritikal di beberapa lebuh raya utama di sekitar Lembah Klang.

Pembinaan lebuh raya itu sekali gus menjadi laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) khususnya di kawasan Ulu Klang, Ampang dan Pandan Indah.