Satu kes positif terbaharu COVID-19 dilaporkan di Bintulu hari ini menjadikan jumlah kes positif di negeri Bumi Kenyalang meningkat kepada 556 kes setakat ini.

Kes positif terbaharu ini melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 67 tahun.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Jumaat, penambahan kes ini adalah hasil daripada pengesanan dan saringan aktif kontak rapat kepada kes yang ke-558.

BACA: Enam positif kes jangkitan COVID-19 kluster Kidurong

Antara lain menerusi kenyataan sama, JPBNS menetapkan bahawa kemasukan warga asing dari Indonesia ke Sarawak tidak dibenarkan buat masa ini sehingga dimaklumkan kemudian.

“Selain itu, warga Sarawak yang pulang dari Republik Indonesia diwajibkan menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang ditetapkan dan saringan akan dilakukan pada hari ke-10,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu, rakyat Sarawak yang tiba dari luar negara selain Indonesia, perlu menjalani saringan tiga hari sebelum berlepas dan setibanya mereka di negeri itu, mereka dikehendaki menjalani kuarantinj di rumah dan saringan akan dilakukan pada hari ke-10.

Bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman pula, mereka akan dikuarantin di pusat kuarantin yang telah ditetapkan dan akan disaring juga pada hari ke-10.