Kipas (blower) dalam pendingin hawa yang bermasalah dikenal pasti sebagai punca kemunculan kepulan asap dari siling wad isolasi lelaki di Hospital Sibu, Sarawak pagi semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata perkara itu disahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan kesemua wad di hospital berkenaan selamat untuk diduduki.

“Pihak hospital telah mengeluarkan kenyataan masalah itu telah selesai.

“Kepulan asap berpunca daripada blower dalam pendingin hawa dan ia sudah diselesaikan oleh pihak bomba yang datang membuat pemeriksaan,” kata Dr Subramaniam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara meletak batu asas bagi pembinaan Dewan Rekreasi Tertutup Taman Sri Pagoh, di Pagoh, pada Ahad.

Terdahulu, dalam kejadian pada jam 8.29 pagi semalam, kepulan asap dikesan di wad isolasi lelaki di hospital tersebut.

Kepulan asap itu disedari oleh pekerja am yang kemudiannya memaklumkannya kepada jururawat yang bertugas di wad berkenaan.

Jururawat kemudiannya mengambil tindakan pantas memaklumkan kejadian itu kepada pengurus Fasiliti One Medicare serta pihak pengurusan hospital.

Dilaporkan kira-kira 1,000 pesakit, pelawat serta petugas hospital berjaya dipindahkan ke tempat selamat.