Barisan Nasional (BN) dilihat mempunyai peluang untuk menakluk semula negeri Selangor seandainya krisis pertukaran menteri besar berlarutan sehingga berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, BN perlu berusaha mempertingkat sokongan pengundi bukan Melayu untuk memastikan peluang itu menjadi kenyataan.

"Kita mendapat majoriti undi Melayu di Selangor. Apa yang perlu dibuat mencari sokongan pengundi Cina dan India yang tidak memberi sokongan pada pilihan raya lepas.

"Realitinya pecahan Melayu dan bukan Melayu di negeri ini hampir 50-50. Sebab itu dengan apa cara sekali pun kita kena mantapkan perpaduan Melayu dan dapatkan undi bukan Melayu jika berlaku pembubaran DUN," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini.

Noh mengulas kenyataan beberapa penganalisis politik yang menyifatkan BN belum cukup bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat (PR) seandainya berlaku pembubaran DUN Selangor dalam tempoh terdekat.

Ia disifatkan berpunca situasi semasa BN Selangor yang masih dalam proses penstrukturan semula pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tahun lepas.

Dalam pada itu jelas Noh, UMNO juga sudah mengkaji kelemahan yang menjadi punca kekalahan di Selangor pada PRU ke-13.

"Kita turut menyusun strategi menawan pengundi dan melihat sebab kurang sokongan di beberapa peti undi di kawasan tertentu," ujarnya.

Ketika ditanya dakwaan penganalisis terhadap pemimpin kitar semula dan veteran dalam UMNO di Selangor, ini kata Noh;

"Saya tidak nampak dakwaan itu benar, sokongan kepada saya sendiri tinggi pada PRU baru-baru ini dan ia terbukti kepada beberapa pemimpin lama BN di negeri ini.

"Kalau ada yang kata UMNO guna pemimpin veteran, mereka boleh menuduh PKR, DAP dan PAS turut menggunakan pemimpin kitar semula dan veteran."

Kedudukan parti di DUN Selangor ialah PAS (15 kerusi), DAP (15 kerusi), PKR (14 kerusi) dan BN (12 kerusi). Jumlah kesemua kerusi ialah 56 kerusi.