Sudah tiba masanya Barisan Nasional (BN) negeri mengambil pendekatan berbeza dalam memenangi hati rakyat Terengganu terutama generasi muda.

BN tidak boleh lagi hanya bergantung kepada kepesatan pembangunan Terengganu, sektor pelancongan dan kekayaan petroleumnya untuk memikat hati mereka.

Jadi mulai sekarang calon BN yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Ahad lepas harus bekerja lebih masa setelah menerima tamparan hebat menang tipis 17 kerusi.

Strategi meletakkan calon penampilan semula seperti bagi kerusi parlimen Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan dan tiga lagi calon berpengalaman seperti Datuk Che Mat Jusoh (DUN Batu Buruk), Wan Ahmad Nizam (DUN Cukai) dan Zaidi Muda (DUN Bukit Payung) tidak berkesan kecuali Datuk Tengku Putera Tengku Awang bagi DUN Kuala Berang.

Selain itu meletakkan calon baharu di beberapa kawasan semi bandar juga tidak memberikan kesan.

Masalah undi protes juga perlu diberi perhatian apabila jumlah undi rosak lebih tinggi daripada majoriti seperti berlaku di kerusi parlimen Kuala Nerus iaitu mencatatkan undi rosak sebanyak 770 berbanding 610 majoriti yang dimenangi calon PAS Mohd Khairuddin Aman Razali.

Pengerusi BN negeri Datuk Seri Ahmad Said mengakui sasaran meraih 28 kerusi tidak menjadi tetapi cukup setakat kelebihan dua kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri.

"Kita dah lakukan semua kehendak rakyat, (tetapi) kita tak tahu apa kehendak golongan muda yang sebenarnya. Pengundi luar termasuk masyarakat Cina juga banyak mempengaruhi," katanya.

Terengganu sekali lagi memihak kepada BN tetapi menang tipis 17 daripada 32 DUN pada pilihan raya kali ini. Pada tahun 2008, BN Terengganu hanya kalah lapan daripada 32 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Kecenderungan pengundi untuk beralih memilih PAS patut tidak harus diketepikan kerana itulah tradisinya di negeri pantai timur ini.

BN menawan negeri ini daripada PAS pada 2004, oleh itu pengaruh PAS sentiasa ada dan kali ini PAS Terengganu dikatakan lebih cenderung memikat pengundi muda.

Golongan 'Mat Rempit' disatukan dengan 'Geng Surau' oleh PAS. Jiwa orang muda didekati oleh PAS menggunakan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus atau dikenali sebagai UAI.

Unsur humor yang banyak digunakan UAI yang diselitkan semasa menjelaskan dalil-dalil al-Quran dan Hadis dalam kuliah agamanya ternyata mendekati golongan sasaran.

UAI yang memang cenderung ke arah PAS diangkat sebagai Duta Pemuda PAS dan banyak memainkan peranan mengumpul ribuan orang setiap kali berceramah mengalahkan ceramah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri.

Ketua Pemuda PAS negeri Mohd Nor Hamzah memberitahu Bernama bahawa UAI memang banyak membantu PAS membuat sentuhan mesranya bersama calon-calon juga yang muda, sekurang-kurangnya tujuh orang, bertemu dengan kumpulan pengundi muda.

Di sinilah BN kalah kerana menurunkan calon kitar semula yang sebelum ini ditolak masyarakat setempat. Lima daripada tujuh calon muda PAS itu menang Ahad lepas.

Selain itu PAS turut menggula-gulakan pengundi muda dengan cadangan pemansuhan bayaran balik pinjaman pendidikan Yayasan Terengganu dan isu penghapusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk digantikan dengan pendidikan percuma.