Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil tidak akan dipinggir walaupun ia adalah satu-satunya kerusi dalam Parlimen Baling yang terlepas kepada pembangkang.

Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang memenangi kerusi Parlimen Baling berjanji akan melaksanakan tanggungjawab dalam membangunkan kawasan parlimen itu selaras dengan aku janji Barisan Nasional (BN) untuk membantu rakyat di kawasan DUN Bayu, Kupang dan Kuala Ketil.

"DUN Kuala Ketil akan dijadikan DUN angkat Parlimen Baling," kata Ketua Umno Bahagian Baling itu kepada pemberita.

Pada pilihan raya umum Ahad lepas, Abdul Azeez menewaskan calon PAS Brig Jen (B) Datuk Najmi Ahmad dengan majoriti 5,185 undi.

Di SUNGAI PETANI, calon BN Ali Yahya yang mengalahkan penyandang kerusi DUN Pantai Merdeka Abdullah Jusoh daripada PAS dengan majoriti 1,707 undi, berkata kemenangan beliau adalah hasil usaha bersama jentera dan penyokong BN selama hampir lima tahun di kawasan itu.

Beliau berkata walaupun BN kalah di DUN Sidam dan Bakar Arang serta Parlimen Sungai Petani, kemenangan di DUN Pantai Merdeka memberi makna yang besar kerana menyumbang satu kerusi untuk BN Kedah membentuk kerajaan baharu.

"Saya bersyukur BN menang di DUN Pantai Merdeka dan menyumbang satu kerusi untuk BN membentuk kerajaan di Kedah," kata Ketua Umno Sungai Petani itu.

Ali berkata kemenangannya di Pantai Merdeka turut didorong oleh sokongan pengundi muda dan pengundi luar.

"Perancangan saya selepas ini ialah untuk membuka bilik gerakan DUN Pantai Merdeka di kawasan Tikam Batu seterusnya merencanakan pembangunan baharu di sini termasuk janji untuk membina jalan baharu Batu Lintang-Pantai Merdeka.

"Kita akan nampak satu perubahan di Pantai Merdeka selepas ini," katanya.