Bank Negara Malaysia (BNM) akan meneruskan inisiatif serta langkah bagi memperkukuh integriti sistem kewangan di Malaysia.

Menurut bank pusat itu, ini termasuk langkah Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (NCC) yang akan mengadakan sesi konsultasi membabitkan cadangan had transaksi tunai pada kadar RM50,000 bagi mengelak penyalahgunaan wang tunai untuk menyokong kegiatan haram.

"Mana-mana jumlah yang melebihi had ditetapkan itu perlu menggunakan kaedah yang boleh dikesan (seperti cek, pembayaran elektronik)," kata BNM dalam Laporan Tahunan 2019 yang dikeluarkan hari ini.

BNM berkata memandangkan pembanterasan jenayah kewangan merupakan tanggungjawab dikongsi dengan pelbagai pihak berkepentingan, maka ia perlu memainkan peranan dalam memastikan integriti sektor kewangan dipelihara dengan baik.

Ini termasuk untuk terus memantau perkembangan dan trend antarabangsa untuk melindungi rejim pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan (AML/CFT) Malaysia.

"Usaha ini merangkumi perumusan strategi untuk menghadapi trend dan ancaman bakal muncul dan pada masa yang sama bergerak seiring dengan kemajuan teknologi yang pesat," katanya.

Menurut laporan itu, pada September 2019, BNM telah mengeluarkan draf dasar bagi mendapatkan maklum balas kalangan industri yang berkaitan dan orang ramai.

Dasar ini telah dimuktamadkan pada Disember 2019 dan seterusnya dikuatkuasakan pada Januari 2020.

BNM berkata tanggungjawab utama sebagai Unit Perisikan Kewangan Malaysia adalah untuk mengumpul, menganalisis dan menyalurkan maklumat kepada agensi penguat kuasa undang-undang tentang kesalahan yang disyaki berkaitan dengan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan serta jenayah.serius lain.

"Pada 2019, BNM menerima sejumlah 113,353 laporan transaksi yang mencurigakan (STR) iaitu peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding dengan 87,034 STR pada 2018.

"Peningkatan ini menunjukkan kesedaran semakin meluas dalam kalangan institusi-institusi pelapor berhubung peranan mereka sebagai pertahanan barisan pertama dalam membantu membanteras jenayah kewangan," kata laporan itu.

Selain itu, BNM juga terus memperkukuh kerjasama dan hubungan baik dengan rakan strategik pada peringkat antarabangsa dan pihak berkepentingan yang lain dalam usaha memerangi jenayah kewangan dunia.- BERNAMA