Kerajaan sudah mengambil inisiatif melalui kerjasama dengan pihak Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini memiliki pelan perlindungan insurans yang bersesuaian.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, ia termasuk persetujuan sebuah syarikat insurans yang memperkenalkan pelan insurans hayat dan boleh diperbaharu setiap tahun oleh golongan berkenaan.

"Hasil daripada kerjasama tersebut, pada 24 Jun 2015, satu syarikat insurans di negara ini iaitu Allianz Malaysia Berhad (Allianz) telah memperkenalkan produk Allianz Ability Life iaitu satu pelan insurans hayat yang boleh diperbaharui setiap tahun.

"Produk tersebut direka khas bagi golongan OKU dengan kadar premium serendah RM50.00 setahun untuk jumlah insurans RM25,000 dan RM70 setahun untuk jumlah insurans RM50,000. Insurans ini terbuka untuk golongan OKU berumur 16 hingga 70 tahun," katanya semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Jerantut,Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN) semasa sesi pertanyaan menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ahmad mahu kementerian berkenaan menyatakan usaha yang bagi membantu golongan OKU memiliki polisi insurans dengan pelan dan kadar bayaran premium yang adil serta berpatutan.

Ia susulan kesukaran golongan itu mendapatkan pelan perlindungan yang bersesuaian dengan kadar premium yang rendah.

Dalam pada itu kata Rohani, pihaknya masih meneruskan usaha perbincangan dan perundingan dengan syarikat-syarikat insurans bagi memastikan skim insurans kepada OKU sentiasa terbela.

"Kita utamakan kebajikan OKU ketika masih hidup khususnya skim insurans yang berbentuk tabungan seperti endowment selain perlindungan yang biasa ditawar melibatkan kematian dan kemalangan," jelasnya.