Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini mengeluarkan tiga penafian terhadap beberapa kenyataan yang tular di media sosial dan di aplikasi pesanan ringkas.

Ia termasuk melibatkan kenyataan kononnya orang ramai tidak dibenarkan membuat pembayaran melalui kad bagi perniagaan tidak penting (non-essentials).

“Bank Negara Malaysia (BNM) menafikan dakwaan bahawa pembayaran melalui kad dibekukan bagi perniagaan non-essentials mulai 27 Mac, 2020 sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat,” kata pasukan itu dalam satu kenyataan.

Selain itu, Hospital Segamat, Johor turut menafikan dakwaan tentang penggunaan wad di hospital berkenaan bagi menempatkan pesakit-pesakit COVID-19 walaupun telah diwartakan sebagai hospital saringan dan untuk pesakit bukan COVID-19.

Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini mengeluarkan tiga penafian terhadap beberapa kenyataan yang tular di media sosial dan di aplikasi pesanan ringkas. - Foto KKMM

Pada masa sama, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga menafikan dakwaan posting berkaitan penjualan pakaian bundle milik pesakit yang telah meninggal dunia akibat COVID-19.

Orang ramai dinasihati menyemak sebarang maklumat atau kenyataan yang diterima sebelum berkongsi maklumat tersebut.