Tindakan memboikot produk syarikat yang terbabit dengan pembakaran terbuka di Indonesia oleh 200 badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia wajar diberi perhatian.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd. Yusof Abdul Rahman, berkata pengguna mempunyai kuasa besar dalam menentukan kehendak pasaran negara.

Jelasnya, kuasa pengguna memboikot produk mereka sudah tentu akan memberi tekanan kepada syarikat terbabit.

Sehubungan itu, FOMCA menyeru pengguna di negara ini supaya memperhebat kempen memboikot produk oleh semua NGO terbabit.

"Langkah memboikot ini ia dapat memberikan bentuk pengajaran kepada syarikat-syarikat tersebut supaya mereka tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan". katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

"Ia memberikan kesan yang buruk kepada rakyat khususnya rakyat Malaysia, di FOMCA kita amat menyokong langkah tersebut setelah diambil langkah-langkah untuk memastikan syarikat mana di Malaysia yang terlibat dengan pembakaran terbuka", katanya.

FOMCA juga akan bekerjasama dengan kuasa gabungan persatuan pengguna antarabangsa untuk mengambil tindakan terhadap syarikat bertanggungjawab.

Kempen memboikot produk syarikat terbabit akan digerakkan FOMCA bila pihak NGO selesai menyenaraikan syarikat Malaysia yang terlibat.

Pada Rabu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) termasuk 200 badan NGO lain bercadang memboikot produk syarikat terbabit dalam pembakaran terbuka di Indonesia.

PPIM masih mengumpul bukti dan maklumat syarikat berkenaan, yang turut menjadi penyumbang kepada situasi jerebu di seluruh negara.