Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini menolak dakwaan Tan Sri Rais Yatim berhubung arahan larangan berpantun yang dikeluarkan pihak itu sebelum ini.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Awam (J7) Markas ATM, arahan yang ditularkan sebelum ini merupakan peringatan dalaman kepada semua Markas Perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Mereka diingatkan agar tidak menggunakan seloka, pantun dan jenaka ketika mengacara majlis-majlis rasmi ketenteraan.

Bagaimanapun, mereka dibolehkan berbuat demikian dalam majlis yang tidak bersifat regimental.

"Contoh majlis rasmi yang dimaksudkan adalah seperti acara yang melibatkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Pembesar Negeri, Acara Perbarisan dan Acara Rasmi yang dilaksanakan di peringkat ATM dan perkhidmatan TDM, TLDM dan TUDM.

"Namun begitu, ATM masih memberi kelonggaran untuk penggunaan pantun, gurindam, seloka dan seumpamanya di majlis yang tidak bersifat regimental seperti sambutan ketika majlis melibatkan jamuan bersama anggota keluarga, sukan dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Ahad, Rais dilaporkan mempertikaikan larangan berpantun dalam majlis rasmi ATM.

Sambil berkongsi surat dipercayai pekeliling larangan tersebut, budayawan itu melahirkan rasa tidak puas hatinya menerusi akaun Twitter miliknya.


Surat bertarikh 2 November yang dikongsi Rais itu ditandatangani Ketua Staf Markas ATM Datuk Kamalruzaman Mohd Othman yang menyebut mengenai arahan larangan penggunaan pantun di dalam skrip juruacara majlis rasmi ketenteraan ATM.

“Satu perbincangan bersama Panglima Angkatan Tentera (Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin) telah diadakan berhubung kewajaran penggunaan pantun di dalam skrip juruacara semasa berlangsungnya majlis-majlis rasmi ketenteraan.

“Hasil daripada perbincangan tersebut adalah dimaklumkan PAT telah memutuskan bahawa tiada lagi penggunaan pantun dalam skrip juruacara bagi setiap majlis rasmi ketenteraan,” katanya.