Walaupun syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sering dikritik, namun sumbangannya kepada negara tidak boleh dinafikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata banyak projek yang dibangunkan syarikat tersebut membawa kebaikan untuk rakyat.

"Pangkalan Udara Sendayan misalnya, ia adalah salah satu projek yang dikelolakan 1MDB.

"Terbukti, pangkalan udara yang serba moden dan lengkap ini membawa kebaikan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Jadi, jelas di sini, hendak kritik 1MDB boleh tetapi janganlah menafikan kebaikannya," kata Najib.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Pangkalan Udara Sendayan di Negri Sembilan hari ini.

Projek tersebut merupakan sebahagian daripada skop Projek Perpindahan Pangkalan Udara Kuala Lumpur di bawah kelolaan 1MDB selaku pemaju induk Bandar Malaysia.

PU Sendayan yang berkeluasan 750 ekar turut dilengkapi Markas Pemerintahan Pendidikan Latihan Udara dan adalah pusat latihan tentera udara terbesar TUDM.

Ia juga dilengkapi dengan unit-unit kediaman bagi anggota TUDM serta ahli keluarga mereka yang dianggarkan seramai 2,000 orang.