Kementerian Pertahanan akan mendapatkan pengesahan daripada polis Thailand berhubung dakwaan kononnya Malaysia menjadi lokasi persembunyian dan perancangan pengebom Narathiwat.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pihaknya dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan polis Thailand untuk mengesan pelaku serangan jika dakwaan tersebut benar.

"Kita kena tengok kepada bukti-bukti. Saya tidak mahu membuat spekulasi bersandarkan kepada fakta dan perkara-perkara yang diumumkan oleh satu pihak sahaja.

"Hubungan kita (Malaysia) dengan mereka (Thailand) memang rapat, nanti kita dapatkan pengesahannya," katanya selepas menyempurnakan penganugerahan Pingat Jasa Malaysia dan perasmian Karnival Keusahawanan Veteran ATM di sini hari ini.

Katanya, keselamatan dan pertahanan dunia pada masa kini tidak melihat sempadan sebagai satu halangan untuk pengganas dan penjenayah bergerak.

Justeru, katanya usaha untuk mengekang usur keganasan perlu diperkukuhkan tidak kira kementerian, jabatan mahupun agensi kerajaan.

"Tumpuan-tumpuan tertentu kita sama ada di Selatan Filipina atau Selatan Thailand kita kena mengambil kira fenomena baru yang terpaksa dihadapi oleh semua pihak yang bertanggungjawab untuk melihat pada keselamatan dan pertahanan.

"Pergerakan manusia, pergerakan duit, pergerakan senjata, pergerakan maklumat, merentasi sempadan dan kalau dulu itu merupakan tanggungjawab pihak keselamatan iaitu Kementerian Dalam Negeri, pihak polis dan sebagainya.

"Tetapi apa yang kita lihat menular di Syria, Arab dan Mesir, jelas akhirnya pihak tentera juga terpaksa mengambil tanggungjawab tersebut," ujar Hishammuddin.

Semalam Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Phattanawut Angkhanawin dalam satu kenyataan berkata lebih separuh dari 50 suspek serangan di Hospital Cho Ai Rong, Narathiwat 13 Mac lepas dipercayai lari dan bersembunyi di Malaysia termasuk di negeri Kelantan.