Bomba akan kaji semula SOP, elak insiden menimpa Adib berulang

Bomba akan kaji semula SOP, elak insiden menimpa Adib berulang
Amer Yusof berkata walaupun pihaknya sudahpun mempunyai SOP yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN), namun ia perlu diteliti secara lebih terperinci agar pelaksanaannya lebih efektif. -Gambar fail
KUALA KEDAH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan meneliti semula prosedur operasi standardnya (SOP) ketika berdepan situasi rusuhan bagi mengenal pasti sebarang risiko supaya kejadian yang menimpa Muhammad Adib Mohd Kassim tidak berulang.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Amer Yusof berkata walaupun pihaknya sudahpun mempunyai SOP yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN), namun ia perlu diteliti secara lebih terperinci agar pelaksanaannya lebih efektif.

"Sepatutnya ketika kita hadir ke mana-mana tempat rusuhan, kita mestilah dikawal pihak berkuasa. Bermakna kita akan teliti dan lihat risiko," kata Amer.
Terdahulu, lebih 1,000 penduduk kampung serta anggota dan pegawai bomba hadir memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham Muhammad Adib di kediamannya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, pada Selasa.

Jenazah Muhammad Adib diterbangkan menggunakan helikopter MI17-IV milik JBPM ditemani ibu bapa serta tunangnya Nurul Najihah Mohd Rodzi sebaik selesai dibedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Jenazah diuruskan mengikut istiadat kebombaan di mana seramai 200 anggota dan pegawai beruniform lengkap bersongkok mengiringi jenazah.

Solat jenazah diimamkan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang manakala bacaan talkin disempurnakan imam masjid Zainuddin Hassan.

Muhammad Adib cedera parah setelah dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya, Selangor pada 27 November lalu.

Mohammad Adib meninggal dunia pada jam 9.41 malam tadi setelah tiga minggu bertarung nyawa di unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN).


Tag: SOP, jenazah, Hospital, Subang Jaya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, ICU, JBPM, Muhammad Adib


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.