Kakitangan Hospital Alor Setar terpaksa meminta bantuan bomba bagi mengangkat seorang pesakit obes ke dalam wad rawatan.

Pesakit lelaki itu tiba dari Hospital Tunku Fuziah ke HAS untuk mendapatkan rawatan susulan menggunakan ambulan pada pukul 2.45 petang hari ini.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, kakitangan hospital menghadapi kesukaran untuk mengangkatnya kerana berat pesakit berkenaan mencecah berat badan 300 kilogram.

''Kakitangan hospital menghadapi kesukaran kerana lelaki itu juga tidak boleh dipapah. Jadi kami memutuskan untuk meminta bantuan bomba,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah, Penguasa Bomba Mohd Naim Mat Jaaffar berkata, sebaik menerima panggilan, sebuah kereta bomba dengan enam anggota dihantar ke HAS.

''Lelaki itu diangkat menggunakan pengusung dan kami lakukan dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.'' katanya.

Tugas memindahkan mangsa mengambil masa 15 minit.