IPOH: Tindakan pantas anggota bomba menyelamatkan seorang lelaki daripada cubaan membunuh diri di Terminal Bas Aman Jaya, Meru Raya, di sini, pada Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Shahrudi Muhamad Halil berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden membabitkan mangsa berusia 41 tahun itu pada jam 6.38 pagi.

Menurutnya, seramai 14 anggota termasuk bantuan daripada BBP Ipoh bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi, lelaki itu berada di atas papan iklan setinggi 15 meter dalam terminal tersebut dan dalam keadaan tertekan.

"Anggota bomba memakai alat keselamatan ketika memanjat untuk mendekati mangsa dan berjaya memujuknya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Menurutnya, anggota bomba mengambil masa lebih sejam untuk memujuk lelaki terbabit yang dibawa turun pada jam 7.55 pagi.

"Dia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita asal: Bomba selamatkan lelaki cuba bunuh diri