Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diarahkan untuk menjalankan siasatan terhadap semua pusat tahfiz di seluruh negara bagi mengelakkan kejadian Pusaf Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah berulang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, siasatan itu untuk memastikan semua pusat tahfiz mematuhi piawaian yang telah digariskan.

Jelasnya, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet Rabu lalu.

"Sekiranya tidak mematuhi piawaian, kita akan bagi tempoh untuk mengikutnya. Kalau masih tidak mematuhi, kita akan ambil tindakan.

"Ini melibatkan soal nyawa anak-anak kita, bukan soal kerajaan negeri atau pusat. Nyawa anak-anak kita kena jaga," katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1439H/2017M di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, silinder gas petroleum cair (LPG) menjadi punca api marak dengan cepat dalam kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur minggu lalu.

Jelasnya, dua bahan bukti diterima pihaknya dan telah dihantar ke Makmal Penyiasatan Kebakaran Kuala Lumpur untuk dianalisa.

Ujarnya, laporan forensik kebakaran, penemuan-penemuan serta punca kebakaran turut menunjukkan kejadian itu adalah disengajakan.

Katanya, hasil analisa menunjukkan petrol telah dicurahkan pada rak tuala, rak kasut dan dinding di hadapan pintu masuk bilik asrama aras tiga.

Sabtu lepas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengumumkan tujuh remaja berusia antara 11 dan 18 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran berkenaan.

Pihak polis percaya motif kejadian adalah angkara dendam.