Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan sebuah helikopter miliknya untuk menghantar 2,400 kilogram bekalan makanan kepada penduduk Orang Asli di Pos Gob, Gua Musang, Kelantan bagi menghadapi musim tengkujuh.

Bekalan makanan seperti beras, makanan tin dan barangan makanan lain itu dihantar kepada 160 keluarga Orang Asli di berkenaan.


Semua bekalan makanan itu dihantar melalui helikopter MI-17 berikutan jalan darat ke kawasan berkenaan berlaku kerosakan akibat hujan sejak beberapa hari lalu.

‘Jalan balak’ di kawasan perkampungan Orang Asli di negeri Kelantan sering bermasalah membuatkan penduduk Orang Asli terpaksa meminta bantuan udara. - Foto Astro AWANI

Komander Pasukan Khas Unit Udara JBPM Subang, Penguasa Bomba Cik Hamdan Hamzah berkata, helikopter dari pangkalan Udara Subang, Selangor itu digunakan untuk mempercepatkan operasi penghantaran bekalan ke kawasan berkenaan.


Katanya, bungkusan makanan dihantar dari padang Pusat Sivik di sini ke kampung berkenaan.

Semua bekalan makanan itu dihantar melalui helikopter MI-17 berikutan jalan darat ke kawasan berkenaan berlaku kerosakan akibat hujan sejak beberapa hari lalu. - Foto Astro AWANI

“Kami menghantar bekalan keperluan bersama anggota MUST negeri dan juga dari JAKOA. Turut sama bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang bersama saya untuk logistik bagi mempercepatkan proses penghantaran. Proses penghantaran ini penting bagi persediaaan musim tengkujuh ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.


‘Jalan balak’ di kawasan perkampungan Orang Asli di negeri Kelantan sering bermasalah membuatkan penduduk Orang Asli terpaksa meminta bantuan udara untuk keluar ke bandar sekiranya menghadapi kes kecemasan.