Hanya pihak berkepakaran yang sepatutnya mengemukakan sebarang cadangan susulan kejadian enam anggota bomba yang lemas semasa misi mencari dan menyelamat Rabu lalu, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad hari ini.

Menurutnya, cadangan berkenaan juga perlu disalurkan kepada pihak yang berkenaan, terutama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), melalui medium yang sesuai, bukan melalui media sosial.

Cadangan yang dibuat menerusi akaun Facebook misalnya, hanya akan mengguris perasaan keluarga yang baru kehilangan orang tersayang.

"Memang banyak kekurangan yang ada. Bukan semata-mata prosedur operasi standard (SOP), tetapi termasuk kelengkapan, data yang sepatutnya ada di internet, digital, soft copy maklumat dan sebagainya. Jadi, ia kena ditambahbaik.

"Saya rasa insiden ini sangat tragis dan kita kena ada pendekatan yang bersepadu melibatkan semua pihak untuk menentukan akhirnya kelengkapan pihak keselamatan itu mencukupi, supaya pihak mereka boleh bertindak dengan maklumat mencukupi, peralatan mencukupi dan latihan mencukupi," katanya.

Khalid berkata demikian selepas menyempurnakan flag-off kepada lebih 4,000 peserta Larian OCBC KL Car Free Morning di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata telah mengemukakan cadangan kepada pihak berkuasa terlibat agar SOP digunakan ketika ini diteliti supaya sebarang tindakan tidak membahayakan mangsa dan anggota penyelamat.

"Tali yang mengikat antara mereka menjadi masalah kepada mereka. Itu akhirnya membelit mereka sehingga mereka tidak boleh melepaskan diri. Itu bertujuan menyelamatkan tetapi sebaliknya.

"Ini merupakan pengalaman pertama, dan suasana sebegini rupa, sehingga mengorbankan penyelamat. Maka saya telah meminta pihak keselamatan kaji SOP dan keadaan sebegini.

"Kita pun tidak boleh membahayakan pegawai keselamatan kita. Kita nak selamatkan orang dan bukan membahayakan orang," tambahnya.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, dalam keadaan kecemasan, pihak bomba akan bertindak dengan seberapa segera dan memberikan tumpuan kepada usaha menyelamatkan nyawa.

"Itu SOP bomba. Tidak mungkin dia akan berkesempatan untuk mencari pelan itu, pelan ini. Kalau sudah sedia ada, semua dalam soft copy dan semua sedia dalam komputer, internet dan sebagainya, maka mereka boleh akses dengan segera.

“Namun, kalau ia masih lagi dalam hard copy dan sebagainya, maka tidak mungkin dia nak cari pelan dulu baru nak selamatkan. SOP bomba, ikut kefahaman saya, kalau berlaku sebegitu, maka mereka akan berusaha selamatkan nyawa," kata beliau lagi.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, kementeriannya akan menetapkan satu SOP bagi JBPM berhubung operasi penyelamatan di air.

Pada masa sama, pasukan bomba perlu mendapatkan pelan struktur sesebuah kawasan dari pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum turun menjalankan kerja menyelamat mangsa di dalam air.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam Rabu lalu, enam anggota bomba dari Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Selangor terkorban ketika menjalankan usaha mencari dan menyelamat seorang remaja di kawasan lombong di Puchong.

Empat daripada mangsa terkorban adalah anggota BBP Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, Izatul Akma Wan Ibrahim, Mazlan Omarbaki dan Yahya Ali.

Dua lagi, anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari.