Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap sedia daripada pelbagai aspek khususnya keanggotaan dan peralatan bagi menghadapi ancaman kebakaran hutan dan tanah gambut, berikutan cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini sehingga September.

Penolong Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Zulkarnain Mohd Kassim berkata pihaknya telah menempatkan aset-aset penting di balai yang sering berlakunya kes kebakaran hutan dan tanah gambut.

"Alat seperti pam empar memang kita tempatkan di balai-balai yang telah dikenal pasti kerap berlaku kebakaran hutan ketika Monsun Barat Daya bermula seperti sekarang," katanya ketika ditemui pada Pameran Metaltech 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, pada Khamias.

Beliau juga meminta orang ramai supaya lebih peka dengan tidak melakukan pembakaran terbuka sewaktu musim panas dan kering ini kerana ia berisiko menyebabkan kebakaran hutan.

Terdahulu, JPBM menerima satu unit Pam Empar daripada syarikat pengeluar peralatan bomba dari Republik Czech iaitu Palvlis and Hartmann.

Pada 6 Mei lepas, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang dikeluarkan, sebanyak dua titik panas kebakaran dikesan dalam negara iaitu di Pahang dan Terengganu.

Wan Junaidi turut memberi amaran bahawa di bawah peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mana-mana pihak yang didapati melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM2,000 atau jika disabitkan kesalahan di mahkamah, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

-- BERNAMA