Lebih 12,863 penjawat awam di negeri Terengganu bakal menerima bonus sebanyak RM500 seorang.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sumbangan sejahtera itu bagi menghargai kerja keras dan kesetiaan penjawat awam di negeri itu.

“Kerajaan Negeri ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada penjawat awam yang berdedikasi dan komited sehingga meletakkan negeri Terengganu antara negeri yang terbaik di Malaysia.

“Sebagai menghargai kerja keras dan kesetiaan penjawat awam Kerajaan Negeri telah bersetuju memberikan sumbangan sejahtera kepada penjawat awam negeri yang berjumlah RM500,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 Terengganu di Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Sementara itu, kerajaan negeri juga turut mengumumkan penyaluran bantuan am sebanyak RM250,000 kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan kerajaan.

Menerusi Belanjawan 2020, Negeri Terengganu memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM1.832 bilion.