Sebuah bot dagang membawa muatan ikan ditemui karam di perairan Kuala Linggi, Melaka hari ini.

Sumber Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata, pihaknya menerima laporan pertama daripada pengawal pantai yang membuat rondaan sekitar 5.20 petang tadi.

Manakala laporan kedua pula diterima menerusi MERS 999, 10 minit kemudian.

Pemeriksaan awal bagaimanapun hanya menemui bot terbabit yang terapung di 6.8 batu nautika dari muara Kuala Linggi iaitu di kawasan batuan mandi tanpa mengesan sebarang anak kapal.

Bot terbabit dipercayai dari Indonesia dan membawa muatan ikan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan aset APMM hanya digerakkan sehingga jam 7 petang tadi dan terpaksa disambung semula pada Selasa ekoran cuaca yang gelap.