Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur rasuah dalam kalangan agensi penguatkuasa yang menyebabkan sindiket pemerdagangan manusia terus berlaku di negara ini.

Katanya, jika benar wujud gejala rasuah dalam kalangan penguatkuasa agensi yang mengawasi sempadan negara, kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang terlibat.

"Saya juga tidak menolak kemungkinan ada unsur-unsur rasuah yang berlaku.

"Jika ini didapati benar, jika ia melibatkan orang dalam agensi-agensi penguatkuasaan, tindakan secara perundangan juga (akan) dilakukan," tegas Ahmad Zahid dalam sidang media selepas mendengar taklimat berkenaan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam di perairan Sabak Bernam.

Tambah beliau, tiada tolak ansur berkenaan gejala rasuah terutama dalam agensi-agensi penguatkuasaan.

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut mengakui masih ada kelemahan dalam kawalan keselamatan di sempadan perairan negara.

"Ya, kita mesti mengakui terdapat beberapa kelemahan dari segi kekurangan aset, kekurangan anggota. Tetapi itu bukan alasan untuk mengurangkan penguatkuasaan," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menunding jari kepada pihak penguatkuasa atas kejadian yang berlaku.

"Orang jahat, yang melakukan pemerdagangan manusia akan melakukan pelbagai cara untuk mengelak daripada pihak berkuasa.

"Dalam isu ini saya tidak berhajat untuk menyalahkan agensi-agensi penguatkuasaan," katanya.
15 mayat telah ditemui pasukan pencari dan penyelamat.

Menurut Ahmad Zahid, mereka yang masih mempergunakan PATI bakal berdepan dengan tindakan berat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.