Sembilan mayat ditemui setakat ini di perairan Malaysia dan Indonesia, susulan tragedi bot karam di perairan Tinangat dekat Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus memaklukan, tiga daripada mayat berkenaan, iaitu masing-masing satu lelaki, satu wanita dan satu kanak-kanak dijumpai di perairan Malaysia.

Satu daripada mayat berkenaan ditemui di kawasan Sungai Taiwan, Laut Sebalik, manakala dua mayat lagi sekitar perairan Karang Unaran Sebatik.

Manakala baki enam mayat lagi ditemui di perairan Indonesia.

Ia termasuk masing-masing satu mayat lelaki dewasa, satu perempuan dewasa, satu wanita hamil dan tiga kanak-kanak lelaki.


Mayat berkenaan ditemui Badan SAR Nasional (Basarnas) Indonesia yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di perairan negara jiran itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang Selasa, bot membawa 15 penumpang termasuk seorang tekong dikatakan terbalik selepas terkena ombak besar mengakibatkan semua mangsa tercampak ke dalam laut.

Susulan kejadian itu, 13 orang termasuk tekong dilaporkan hilang, manakala dua mangsa iaitu pasangan suami isteri terselamat.