Bot laju bertembung, kemeriahan Pesta Kanowit bertukar cemas

Bot laju bertembung, kemeriahan Pesta Kanowit bertukar cemas
Akibat kemalangan tersebut mangsa mengalami kecederaan parah iaitu patah kaki kanan dan mangsa telah dikejar ke Hospital Kanowit. - Foto PDRM
KANOWIT:

Kemeriahan acara Perlumbaan Power Bot Pesta Kanowit yang berlangsung di Sungai Rajang di sini pagi tadi, bertukar tragedi apabila seorang peserta mengalami kecederaan parah selepas bot dipandu terlibat dalam kemalangan.

Kejadian kemalangan pada jam 9.30 pagi itu, mangsa, Sarahan Juhan, 36, sedang memandu bot lajunya menuju ke boya pertama apabila dilanggar oleh bot pelumba pasukan lain.

Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintendan Tega Bilong berkata, bot laju Sarahan yang mewakili pasukan Alta Veloce 88 telah dilanggar oleh pemandu bot dari pasukan Hardy 89 yang ketika itu sedang bersaing menuju ke boya pertama.

"Akibat kemalangan tersebut,mangsa mengalami kecederaan parah iaitu patah kaki kanan dan mangsa telah dikejar ke Hospital Kanowit sebelum dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat kemalangan tersebut,mangsa mengalami kecederaan parah iaitu patah kaki kanan dan mangsa telah dikejar ke Hospital Kanowit. - Foto PDRM

Beliau berkata, kedua-dua bot terbabit mengalami kerosakan teruk tetapi pelumba dari Hardyb 89 tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, keadaan cuaca mendung semasa perlumbaan berlangsung, manakala air Sungai Rajang pula sedang surut menyebabkan banyak kayu hanyut di sungai.

Tambahnya, siasatan awal mendapati punca perlanggaran adalah disebabkan mangsa yang ketika itu berada di hadapan cuba menggelak kayu hanyut lalu dilanggar oleh pemandu dari pasukan Hardy 89.

“Terdahulu, perlumbaan itu telah diperakui selamat oleh pihak Lembaga Sungai Sarawak (LSS) sebelum acara dimulakan,” katanya.

Perlumbaan bot laju merupakan antara acara tarikan utama Pesta Kanowit yang berlangsung sejak 26 Oktober lalu.- Foto PDRM

Perlumbaan bot laju merupakan antara acara tarikan utama Pesta Kanowit yang berlangsung sejak 26 Oktober lalu dan menutup tirainya esok.

Pada 15 0ktober 2016, iaitu tiga tahun lepas, seorang pelumba bot laju, Danny Jawan, 37, maut semasa sesi latihan pandu uji dalam pertandingan sama apabila bot dipandunya dilanggar oleh pemandu lain.



Tag: Pesta Kanowit, bot terbalik, bot terbabas, bot, cedera, kemalangan, Sungai Rajang



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.