Sebuah bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak ketika sedang melakukan kegiatan menangkap ikan di perairan negeri kira-kira 3.5 batu nautika dari muara Bagan Datok lewat petang Rabu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata tangkapan dilakukan kira-kira jam 6.30 petang selepas bot ronda Petir 80 melakukan pemeriksaan ke atas bot tersebut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati tekong merupakan warganegara Malaysia manakala awak-awak pula warga Indonesia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot bersama tekong dan awak-awak yang berumur dalam lingkungan 33 sehingga 40 tahun kemudiannya diiringi ke Pusat Tahanan Vesel untuk diserahkan kepada Unit Siasatan bagi siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di zon larangan, menangkap ikan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Shahrizan berkata Maritim Malaysia akan bertindak tegas terhadap mana-mana bot nelayan yang melakukan pencerobohan zon menangkap ikan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi memelihara kehidupan marin agar tidak terjejas.

Beliau memohon orang ramai agar menyalurkan maklumat segera bagi menghalang kegiatan mencuri hasil laut di perairan negara.

Sebarang maklumat dan aduan boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999 bagi memaklumkan sebarang kes kecemasan di laut.