Tutup

Bot nelayan tempatan ditahan di sempadan perairan dibebaskan

Bot nelayan tempatan ditahan di sempadan perairan dibebaskan
Maritim Malaysia berjaya membebaskan sebuah bot nelayan tempatan bersama empat kru yang ditahan kapal Pengawas Perikanan Indonesia. - Sumber foto: Sinar Harian
LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya membebaskan sebuah bot nelayan tempatan bersama empat kru yang ditahan kapal Pengawas Perikanan Indonesia di kedudukan 26.4 batu nautika tenggara Pulau Jarak di sini, hari ini.

Pemangku Pengarah Maritim Perak, Komander Maritim Shahrizan Raman berkata bot nelayan tempatan itu berjaya dibebaskan hasil rundingan dengan pihak berkuasa negara jiran berkenaan yang didakwa ditahan atas kesalahan tidak mengibarkan bendera Malaysia dan kru tidak mempunyai permit kerja di atas bot.
Katanya, pihaknya menerima aduan daripada Sistem Pengawasan Maritim (Laut SWASLA) Lumut mengenai penahanan bot berkenaan kira-kira 0.5 batu nautika dari sempadan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia-Indonesia kira-kira jam 7 pagi Ahad.

"Bertindak daripada aduan itu, Maritim Malaysia mengerakkan bot peronda yang diketuai oleh Leftenan Madya Maritim Mohd Shahrizan Mohd Hashim terus ke lokasi untuk pengesahan dan mengadakan rundingan.
"Bot nelayan tempatan bersama empat kru masing-masing dua warga Thailand dan dua warga Kemboja itu didakwa ditahan atas kesalahan tidak mengibarkan bendera Malaysia dan kru tidak mempunyai permit kerja di atas bot," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Shahrizan berkata hasil dari rundingan tersebut, bot itu bersama kesemua kru berumur 29 hingga 68 itu telah diserahkan dan dibawa pulang ke jeti Maritim Malaysia Perak.

-- BERNAMA