MUAR:Misi #BOTAKCHALLENGE bagi mengumpulkan wang sempena kempen ‘1 Keluarga 1 Laptop’ berjaya direalisasikan dengan 50 buah komputer riba mula diagih-agihkan di bandar Muar pada Khamis.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pemberian bagi fasa pertama itu melibatkan 50 mahasiswa dari keluarga yang berpendapatan rendah.

Majlis penyerahan turut diadakan secara ringkas di Dewan Hajah Hasanah, di sini petang tadi.

“Selepas ini ada banyak lagi program agihan dan hari ini kita hantar surat kepada SPRM supaya mereka boleh memantau.

“SPRM boleh nasihat cara terbaik kepada kita mengikut SOP dan integriti supaya sumbangan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar berhak,” katanya ketika ditemui.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Muar itu menyasarkan kira-kira 500 buah keluarga untuk memperoleh manfaat tersebut seiring keperluan pelajar ketika pandemik COVID-19.

Bagaimanapun Syed Saddiq memaklumkan jumlah kutipan yang diterima adalah melepasi sasaran dan dijangka lebih ramai keluarga yang bakal menerima manfaat tersebut.

“Inisiatif ini dimulakan sejak pertengahan 2019 lalu dan sehingga kini sebanyak 157 keluarga membuat permohonan menerusi Pusat Khidmat Parlimen Muar telah menerima alat peranti tersebut,” katanya lagi.

Pada Rabu, Syed Saddiq yang juga merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan membotakkan kepalanya secara langsung di Astro AWANI sebagai penutup kempen tersebut yang berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM383,000.

Jumlah itu juga melebihi sasaran yang ditetapkan sebelum ini iaitu sebanyak RM200,000 dan kesemua hasil dana itu akan disalurkan kepada pelajar yang kurang bernasib baik di Muar bagi membeli komputer riba.

#BotakChallenge Oleh YB Syed Saddiq