Apabila peristiwa yang mempunyai kaitan dengan Brexit mengambil tempat dalam hari-hari dan minggu-minggu yang akan datang, ia tidak akan mengubah, merosak atau menjejaskan hubungan Britain-Malaysia ataupun tugas yang telah pun dilaksanakan, sama ada membabitkan kerajaan kepada kerajaan atau perniagaan kepada perniagaan.

Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia Vicki Treadell berkata kekuatan dan keakraban antara kedua-dua pihak akan bertahan, seiring dengan cita-cita untuk membangunkannya supaya lebih diperdalam, diperluas dan diperkuatkan lagi hubungan itu.

"Kebanyakan daripada anda mengikuti perkembangan di Parlimen Britain baru-baru ini. Saya tidak ragu-ragu bahawa ia mungkin dapat menimbulkan kebimbangan dan masyarakat akan tertanya-tanya ke mana Britain selepas ini.

"Dalam hari-hari ini dan minggu-minggu akan datang ketika perkembangan ini berlaku, kami akan mendapat gambaran lebih jelas tentang hala tuju perjalanan kami," katanya dalam kenyataan media berikutan undi Parlimen UK berhubung cadangan perjanjian untuk menarik diri daripada EU.

Pada Selasa, Parlimen Britain menolak dengan tegas perjanjian Brexit Perdana Menteri Theresa May, yang membawa kepada undi tidak percaya terhadap kerajaan beliau dan menjadikan rancangan untuk keluar daripada EU dalam keadaan huru-hara.

BACA: Usul Brexit Theresa May tewas di Parlimen Britain

BACA: Usul Brexit gagal: Kepimpinan EU cabar Britain kemuka langkah jelas

BACA: Parlimen Britain lulus usul tinggalkan EU tanpa sebarang perjanjian

Rancangan May untuk membawa Britain keluar daripada Kesatuan Eropah gagal apabila 432 Anggota Parlimen menentang dan hanya 202 yang menyokong.

Treadell berkata UK tetap komited kepada keputusan yang dicapai hasil rundingan dengan EU bagi pemisahan yang lancar dan teratur daripada EU dan kini akan menggunakan idea yang diperoleh menerusi perbahasan di Parlimen untuk meneliti perkara yang boleh dirundingkan semula dengan EU.

"Bagaimanapun, dalam semua perkara ini, kami juga perlu bersedia terhadap kemungkinan tiada kesepakatan untuk keluar daripada EU," katanya.

-- BERNAMA