Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui program Biro Tatanegara (BTN) mempunyai elemen doktrin politik dalam modul yang dilaksanakannya.
Ahli Parlimen Rembau itu turut memberi indikasi sama kepada Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Siri 1.0.
“Jadi bagi saya, PLKN tidaklah berbentuk politik sangat. BTN tu, faham-faham la yer.

"PLKN 1.0 tak ada sangat, tapi PLKN 1.0 ada kelompongan dari segi kemahiran kerana ia lebih kepada ketenteraan, disiplin dan sebagainya. BTN memanglah,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

BACA: BTN, PLKN dimansuhkan serta-merta
Beliau bagaimanapun mengakui PLKN telah ditambah baik pada Siri Kedua dengan turut menekankan aspek kemahiran.
“PLKN tidak, ia lebih kepada kenegaraan dan petriotisme. Dibawah PLKN 2.0 yang saya terlibat bersama Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kita memang tekankan aspek kemahiran.
“Sebab itu kita banyak memperkenalkan modul yang baru termasuk literasi kewangan, komunikasi dalam bahasa Inggeris dan sebagainya.
“Malah terdapat pilihan untuk mereka melanjutkan di peringkat dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN),” jelasnya.
Pada sidang media di Parlimen hari ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa modul pelaksanaan PLKN dan BTN mempunyai unsur doktrin politik dan perkauman.
Justeru, kerangka baharu program pembangunan modal insan di negara ini akan bebas daripada unsur-unsur tersebut.