Teman lelaki kepada penuntut wanita yang disyaki terlibat dalam kes penemuan mayat bayi di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Bukit Kayu Hitam pada Khamis lepas dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk Mohd Nashir Ya berkata suspek berusia 19 tahun itu dibebaskan selepas keterangannya diambil.

Suspek yang berasal dari Pendang ditahan kira-kira 11 pagi semalam di sekitar Jitra bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Penahanan remaja itu dilakukan susulan penahanan semula teman wanitanya yang berusia 20-an semalam selepas dibebaskan pada Ahad lalu, apabila polis mengklasifikasikan kes pembuangan bayi itu sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu kes diklasifikasikan sebagai menyembunyikan kelahiran dengan melupuskan mayat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan, namun bedah siasat menunjukkan bayi lelaki itu masih hidup semasa dilahirkan.

Media sebelum ini melaporkan orang awam menemukan mayat bayi itu di dalam mangkuk tandas di IPTA terbabit sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu.

Suspek wanita dari Sungai Petani itu ditahan ketika sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital awam.

Polis juga mendapat perintah tahanan reman wanita itu selama tujuh hari bermula semalam. -- BERNAMA