Orang ramai diingatkan agar membuat aduan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) jika ada premis pajak gadai yang mengenakan kadar faedah lebih daripada dua peratus.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan premis tersebut adalah di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.

"Saya dimaklumkan pajak gadai ini boleh kenakan faedah tidak lebih dua peratus. Jadi kalau mengenakan faedah, mesti tidak lebih dari itu jadi ia dibenarkan.

BACA: Ramai ke pajak gadai selesaikan urusan tertangguh - MPBA

"Namun kalau ada yang mengenakan lebih dari dua peratus, saya harap boleh laporkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana pajak gadai adalah di bawah bidang kuasa mereka," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Premis pajak gadai ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan, premis itu menjadi tumpuan orang ramai.