Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini menyeru semua ahli politik, sama ada kerajaan ataupun pembangkang supaya melakukan ‘gencatan politik’ dengan segera.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu amat perlu bagi membantu merealisasikan agenda yang lebih penting untuk masyarakat dan negara, iaitu pemulihan ekonomi rakyat.

“Penggemblengan usaha ke arah membela nasib rakyat yang kian resah dan susah harus menjadi keutamaan ketika ini, berbanding perkiraan untung rugi politik jangka pendek dan perebutan kuasa berterusan yang hanya akan memudaratkan rakyat dan negara jangka panjang,” katanya lagi.

Sumber Facebook drasyrafwajdidusuki

Dalam pada itu, Asyraf berkata, Pemuda UMNO menyambut baik pengumuman 40 inisiatif dan insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dibentangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.

Beliau berkata, inisiatif dan insentif itu bersifat menyeluruh dan mencakupi semua pihak termasuk golongan pekerja, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), belia dan rakyat biasa di pelbagai peringkat.

“Walaupun terpaksa menghadapi serangan, tohmahan, dan kegilaan politik sesetengah pemimpin serta parti politik yang cuba mengganggu gugat kestabilan pentadbiran, kewujudan pelan PENJANA ini adalah bukti kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara dan mengembalikan kesejahteraan rakyat.

“Sememangnya tempoh tiga hingga enam bulan akan datang adalah saat paling getir buat rakyat untuk kembali menyesuaikan diri dalam kehidupan yang kian mencabar lantaran kegawatan ekonomi semasa pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Pandemik COVID-19,” katanya lagi.

Asyraf berkata, Pemuda UMNO akan menggerakkan seluruh jentera di 191 Bahagian bagi memantau pelaksanaan PENJANA.

Selain itu, mereka akan terus memberi maklum balas dari semasa ke semasa kepada kerajaan bagi memastikan segala objektif pemulihan ekonomi negara mampu direalisasikan.