Penganggur perlu mempertimbangkan kerja sambilan sebelum diterima atau menjawat jawatan tetap di mana-mana agensi impian masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Portal Pencarian Kerja MauKerja.My Ray Teng berkata, paling penting mendapat rezeki dan menggerakkan ekonomi terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini.

"Pada masa panjang, sebenarnya kita kena cari kerja yang berkenaan dengan bidang masing-masing.

"Tetapi pada masa PKP, tidak ada banyak peluang. Sekarang jawatan lebih kurang dari yang ditawarkan.

"Sebagai sementara, kalau ada kerja sambilan, buat dahulu. Paling penting ada rezeki dan bila ekonomi semakin baik, kita naikkan kemahiran dan kerja di tempat impian," katanya di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara PERKESO, MYFutureJobs merekodkan 113,300 pencari kerja dengan 95,400 kekosongan aktif.

Portal itu turut mencatatkan purata harian 3,088 pencari kerja dan 2,692 kekosongan jawatan.

Dalam pada itu, Ray Teng menjelaskan, paling penting untuk penganggur mengemaskini resume masing-masing agar dipilih majikan.

Selain itu ujarnya, mereka juga perlu mencari latihan yang sesuai dan dapat membantu menaikkan kemahiran masing-masing dalam kerja kelak.

Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia menjelaskan, di bawah skim MYApprentice yang membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) awal Jun lalu, menyediakan insentif kepada majikan layak jika mereka menggajikan perantis

Sementara di bawah skim HireMalaysia pula, majikan yang menggajikan penganggur berumur bawah 40 tahun akan mendapat insentif RM800 bagi setiap pekerja manakala syarikat yang menggajikan penganggur berumur antara 40 hingga 60 tahun atau Orang Kelainan Upaya (OKU) layak mendapat insentif sebanyak RM1,000 bagi setiap pekerja.

Semua insentif ini akan diberikan selama enam bulan kepada majikan yang layak.