Lapan jam selepas ditangkap, buaya sepanjang empat meter yang ditangkap di atas jalan di Kawasan Perindustrian Limbang pagi tadi akhirnya dilepaskan ke habitatnya melalui kolam balak di Jalan Kubong, Pandaruan dekat sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Lingem berkata, keputusan itu diambil setelah pihaknya mengadakan perbincangan dengan pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC).

"Kerja-kerja melepaskan reptilia tersebut dilakukan sekitar jam 1.10 petang tadi," katanya lagi.




Pagi tadi, penduduk di bandar ini gempar apabila seekor buaya besar merayap di permukaan jalan, dipercayai mencari makanan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat kemudian dimaklumkan tentang kejadian tersebut sekitar jam 7.36 pagi dan sebuah jentera serta kenderaan utiliti dikejarkan ke lokasi yang terletak berhadapan premis West Lake Tyre, di Kawasan Perindustrian Limbang.

BACA JUGA: Buaya 4.5 meter 'serah diri' pada pagi Aidiladha di Saratok

BACA JUGA: Buaya tembaga sepanjang tiga meter ditangkap di Kampung Ubai

BACA JUGA: Remaja lemas dibaham buaya di Sungai Kawi

Pihak bomba mengambil masa 30 minit untuk memerangkap sang bedal terbabit, yang agresif dan memutar badan untuk meloloskan diri.

Setelah ditangkap, buaya tersebut diangkat menggunakan jentera forklift untuk dimasukkan ke dalam lori sebelum disimpan sementara di Balai Bomba dan Penyelamat Limbang.