Gesaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hanyalah pandangan peribadi beliau.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, setakat ini parti tidak mengadakan sebarang perbincangan berhubung isu pembubaran Parlimen malah menzahirkan sokongan terhadap Perdana Menteri.

“Kita tetap dengan pendirian memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri dan sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) dan apa yang penting ketika ini adalah menumpukan masalah rakyat.

“Pandangan Tok Mat adalah peribadi sebab parti tidak buat sebarang keputusan soal pembubaran,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kartun COVID19 di Taman Botani Perdana, di ibu negara pada Jumaat.

Annuar Musa mengulas perkara berkenaan susulan kenyataan yang dikeluarkan Mohamad Hasan pada Khamis yang menyatakan pembubaran Parlimen wajar dilaksanakan bagi membolehkan PRU-15 dijalankan dalam usaha menstabilkan keadaan politik negara.

Dalam pada itu beliau berpendapat, tidak timbul soal ketidakstabilan politk ketika ini melibatkan kedudukan kerajaan buat masa ini.

"Saya tengok kerajaan ini adalah mantap, jumlah sokongan semakin bertambah, jumlah kerusi pun makin bertambah sebab ada yang 'menyeberang' dan memberi sokongan kepada PN," katanya lagi.