Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut dilanggar kereta ketika melintas jalan pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari di Kilometer 49, Jalan Gua Musang - Kuala Krai itu, mangsa Nor Nasirah Mahadi sedang menunggu bas bersama ibunya di sebuah perhentian bas menghala ke Kuala Krai.

Menurut Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin, mangsa ternampak bapanya di seberang jalan dan terus melintas lalu dilanggar kereta yang datang dari arah Gua Musang ke Kuala Krai.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, badan dan kaki manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. Mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Chiku 3.

"Bedah siasat dijalankan di Hospital Gua Musang (HGM) pada jam 6.40 petang dan mangsa disahkan meninggal akibat pendarahan dalaman," kata Mohd Taufik sepertimana laporan Sinar Harian.

Kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.